Friday, April 22, 2011

Ujian Allah kepada kita...

Kekadang kita rasa ujian Allah yang berikan kita amatlah berat tetapi ada lagi hamba Allah yang lain menerima ujian lebih berat lagi. Disini saya ingin kongsikan kisah sedih yang mengingatkan kita tentang ujian Allah.
Kisahnya bermula.....

Anak kedua saya yang berusia 3 bulan tidak sihat. Ketika bersalin, anak saya lemas kerana tali pusat keluar lebih kurang 40 minit sebelum saya bersalin. Ini menyebabkan anak saya lemas kerana tidak mendapat oksigen kerana tali pusat sudah terkeluar. Apabila doctor scan (MRI) otak anak saya, doctor menyatakan bahawa anak saya terencat akal kerana sel-sel otak telah mati kerana kekurangan oksigen. Hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Kaki bagaikan tidak jejak ke bumi. Muka saya pucat bagaikan tiada darah lagi. Hampir 3 minggu saya mengambil masa untuk terima hakikat apa yang doctor terangkan mengenai anak saya. Hari-hari saya menangis. Saya rasakan hati saya kosong.
Selepas 3 minggu saya cuba berkongsi masalah dengan teman sekerja. Semangat saya mula datang apabila ada rakan yang mengalami situasi yang sama seperti saya iaitu anak mereka lemas ketika bersalin. Doktor juga menyatakan anak mereka terencat akal. Tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya dan anak mereka alhamdulillah sihat. Tetapi saya akui bahawa saya hanya insan yang lemah. Kadang-kadang saya kuat, kadang-kadang saya lemah sangat. Rakan menasihati saya agar perbanyakkan solat hajat, baca yassin dan bersedekah. Alhamdulillah. Saya melakukan semua nasihat yang mereka berikan. Perkembangan terbaru tentang anak saya ialah dia masih lagi belum boleh menghisap dan menelan. Minum susu menggunakan tiub yang dimasukkan terus ke perut. Suction machine pula digunakan untuk menyedut air liur kerana anak masih tidak boleh menelan. 2 minggu lepas anak dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada paru2. Ketika itu keadaan anak terlalu lemah menyebabkan doctor sukar mencari urat anak. Pilihan kedua ialah masukkan line hingga ke tulang.
Sekali lagi anak saya diduga iaitu selepas 3 hari kaki anak bengkak. Apabila doctor buat x-ray, rupanya kaki anak saya patah kerana dicucuk ketika memasukkan line.Pergerakan anak saya tidak seaktif bayi kerana kesan kurangnya oksigen di otak ..tambahan pula kaki kanan anak bersimen. Hanya Allah tempat saya mengadu. Jika boleh, biarlah saya yang menanggung semua kesakitan itu, bukan anak saya yang berumur 3 bulan. Minum guna tiub, tak tahu menelan…kaki pula bersimen. Kalian bayangkanlah bagaimana perasaan seorang ibu yang menjaga janin dalam kandungan bagaikan menatang minyak yang penuh. Tetapi selepas lahir, begitu besar ujian untuk anak saya. Terus terang saya katakan bahawa ini adalah ujian yang terlalu besar dalam hidup saya. Saya bersyukur kerana Allah menguji saya kerana Dia sayangkan saya dan anak.
Penulis merupakan seorang guru di MRSM dan sehingga sekarang masih belum mengetahui bagaimanakah nasib anaknya. Sama-samalah kita doakan semoga anaknya sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...